Sunday, January 24, 2010

Tokonang Den (12) - Warkah 1

Abah,

Terlebih dahulu anakanda mohon maaf kerana lambat mengirim berita. Semoga abah dan emak dan keluarga di Seremban sentiasa berada dalam keadaan sehat walafiat hendaknya. Baru empat hari berada di sini anakanda sudah rasakan bagai setahun. Janganlah abah dan mak bimbang. Anakanda sihat di sini, InsyaAllah berkat doa abah dan mak.


Anakanda dan anak Chikgu Siraj seronok sangat kerana dapat berjumpa dengan rakan lama yang pernah belajar sama di Sekolah Kebangsaan Rahang. Namanya Omar Abdullah. Dia pun belajar di Sekolah Rahang tapi setakat darjah 3 saja sebelum berpindah ke Mantin. Ayah Omar adalah saorang anggota polis. Masuk Omar, maknanya ada 3 oranglah bekas murid Chikgu Bidin yang dapat masuk keasrama penuh!. Tentu Chikgu Bidin suka kalau dia tahu!. Anakanda, Omar dan dan anak cikgu Siraj tinggal satu dorm, dorm 4. Belum berapa kenal dengan rakan satu dorm lain. Yang duduk didepan katil anakanda budak dari Perlis. Nama dia Ridzuan Jusuh. Katanya dari Mata Ayak!. Kecil je orangnya tapi nampak sirius dan garang. Yang sebelahnya dari Bukit Ibam, Pahang. Anakanda anggok je tapi entah mana anakanda tak tahu. Namanya Bustamam bin Mahmud. Yang lain anakanda belum lagi kenal, belum berani nak tegur. Perlahan-lahan lah kot, lama lagi akan berada disini. Alah, baru hari keempat!


Anakanda dan anak cikgu Siraj dimasukkan kedalam kelas Remove B. Omar masuk kelas Remove A. Kelas kami tidaklah jauh sangat daripada asrama. Alah, dah biasa! Di Seremban lagi jauh berjalan kaki kesekolah berbanding disini. Anakanda kesekolah berlenggang Mak Limah je!. Buku-buku semuanya simpan dikelas dan tak perlu dibawa balik! Anakanda cuak lah abah. Takut. Budak-budak lain nampak pandai-pandai belaka. Walau bagaimanapun kelas belum lagi bermula. Minggu depan kot!


Semalam, anakanda tidak berapa dapat tidor. Salah satu sebab kerana teringatkan abah, emak dan keluarga di Seremban. Dan sebab lagi satu kerana ada sorang budak yang satu dorm dengan anakanda, asyik menangis hendak balik kerumah. Puas prefek dan budak-budak dalam dorm memujuk. Anakanda belum berapa kenal dengan budak tu tapi ikut kata Omar budak tu dari Perlis. Jauh tu kalau nak dihantar balik! Tentu banyak pakai duit! Tentu mahal tambang teksinyakan bah!. Mana jauh, Ipoh ke Seremban ke atau Ipoh ke Perlis?. Anakanda agak mesti dia ni anak bongsu! manja betul!. Puas kita orang pujuk.

Kalau abah perasan, disekolah ni, semua pakai loceng!. Hendak ke kelas dibunyikan loceng. Nak makan dibunyikan loceng, nak masuk dewan makan pun pakai loceng. Makan disini tak best. Kami dimestikan bawa dan pakai sudu dan garpu di dewan makan. Setiap kali menyuap makanan, anakanda akan teringatkan emak. Teringatkan masakan lemak cili api, sambal tumis petai dan gulai tempoyak. Lebih-lebih lagi anakanda teringatkan set sudu garpu tembaga emak yang dah kurang sepasang. Anakanda paham bila emak keberatan untuk membeli set sudu garpu. yang baru. Buat apa membazir! Cuma kena ingat pesanan emak supaya rajin 'polish' sudu tembaga ni sebab sudu tembaga cepat karat!.


Entah apa yang tukang masak ini masak anakanda tak tahu. Daging rendangnya entah apa rasa! Warnanya pun semacam., warna unggu. Tak selera nak makan. Ikan yang dihidang pun entah dari jenis apa! tak pernah tengok sebelum ini. Budak-budak sini memanggilnya anaconda. Tapi nasi lemak dan nasi gorengnya boleh tahan.


Seperti yang abah nasihatkan, anakanda akan jimat berbelanja. Rasanya duit $15 tak banyak dipakai kerana semua dibekalkan, kecuali pen dan pensil. Yang anakanda bawak dari rumah dah ada, tak payah beli lain. Rasanya cukup kerana anakanda hanya pakai buat belanja rehat sebanyak 20 sen sehari. Kunci almari tu nanti anakanda akan usaha dapatkan.


Anakanda terpaksa berhenti sekarang. Waktu prep dah nak habis. Anakanda akan menulis lagi, sekerap mungkin. Hingga dilain lembaran, salam rindu dari anakanda buat emak dan keluarga di Seremban.


Salam dari anakanda yang jauh.


p.s.


Beritahu ayai supaya jaga raket badminton tu baik-baik. Jangan gesek kat lantai.