Thursday, November 12, 2009

Al-kisah

Almaklum, maka diperkenan Allah SWT akan kemenangan pertandingan sepakbola akhir dinamakan Piala Malaysia (baca betul-betul .., Piala Malaysia , bukan Piala 1Malaysia) kepada Negeri Sembilan (dahulunya 10 negeri kesemuanya dan terpaksa ditolak satu atas keluarnya Naning) keatas Kelantan, negeri lahirnya Che Siti Wan Kembang. Akan keputusannya, telah dicakap-cakapkan orang seluruh alam semenanjung sampai Sabah dan Sarawak, disumbat dan dimasukkan bola kedalam gol adapun tiga berbalas satunya jua.

Alkisah dijadikan iktibar dan dibuatkanlah postmortem akan 'tiada dapat menjulangnya Piala tersebut' oleh pengurusannya pasokan Che Siti Wan Kembang. Arakian diberitakan bahawa 'tiada dapat menjulangnya Piala tersebut' adalah disebabkan kesalahan strategi serta kegagalan untuk mendengar sesuatu berita dengan teliti dan tidak secara membuta tulinya jua.

Al-kisah diceritakan orang sayugia telah diarahkan oleh mereka yang terlibat dalam pengurusan pasokan Che Siti Nurhaliza Yang Tembam, oops.., silap pasokan Che Siti Wan Kembang supaya mencari ide untuk mengalahkan pasokan Negeri Sepuloh tertolak Satunya itu.

Maka telah diadakan sepuloh kali tolak satu sesi 'braintorming' (yang lazimnya selepas 'storm' kesemuanya tiada 'brain' lagi itu) maka mendapat idelah mereka-mereka itu, cara bagaimana hendak mengalahkan Negeri Sepuloh ditolak Satu dalam pertandingan akhir Piala Malaysia (bukan Piala 1Malaysia). Bersepakat dan bersetujulah kesemua yang hadir wei untuk menghantar sepai-sepai kegerai Tomyam yang gemar dan galak dikunjungi oleh pemain-pemain sepakbola Negeri Sepuloh ditolak Satu.

Bayaklah laporan yang dihantar kepada HQ di KB, mahupun secara email, sms dan telepon bimbit dan telepon biasa. Kesemua laporan dikaji dan diperhalusi dan dibentangkan untuk diperbincangan. Sah dan sahih berdasarkan laporan bahawa Negeri Sepuloh ditolak Satu akan memakai taktik 'sorang-sorang'. Wow!!

Maka dikerah otak dan tenaga juga tulang empatnya kerat oleh jurulatih dan juruletih Negeri Che Siti Wan Kembang bagaimana hendak counter tektik 'man-to-man marking' yang akan diemploy oleh Negeri Sepuloh ditolak Satu nanti. Maka berlatih dan bertambah letihlah pemain-pemain negeri Che Siti Wan Kembang, berusaha sunggoh-sunggoh, untuk memenangi Piala Malaysia (baca betul-betul., bukan Piala 1Malaysia).

Maka dihari yang dinantikan, bermulalah pertandingan. Berdentumlah stadium dengan pukulan kompang dan mercun yang didentumkan. Berkibarlah bendera masing-masing, bersepailah air botol mineral, hiruk dan pikuk serta bertambahlah bingar dan panasnya keadaan di dalam Stadium Bukit Jalil.

Setelah permainan dimulakan, lama kelamaan, ajaiblah dan hairanlah serta bingunglah pihak pengurusan apatah lagi juruletih dan pemaian negeri Che Siti Wan Kembang, bahawa tektik yang dibawa oleh Negeri Sepuloh ditolak Satu bukanlah 'sorang-sorang' (one-to-one atau man-to-man marking) seperti yang dijangkakan tetapi Negeri Sepuloh ditolak Satu menggunakan taktik sorang! sorang! (serang!... serang!!).

Al-kisahnya.. maka tersumbatlah bola kedalam gawang gol tiga kali berbalas satunya jua.