Saturday, January 1, 2011

KLINIK RAGBI SENTUH SCORPION PUTRAJAYA TARIK MINAT DOKTOR DAN JURURAWAT WANITA

Bazlina (kiri) dan Paridah (kanan), berpotensi untuk mewakili Putrajaya dalam sukan ragbi sentuh

KELAB RAGBI SCORPION PUTRAJAYA (Scorpion) telah berjaya menganjurkan klinik ragbi sentuh untuk doktor serta jururawat wanita Hospital Putrajaya siang tadi, Isnin 6 Disember 2010 bertempat di Padang Hospital Putrajaya. Klinik tersebut telah menarik minat 20 peserta wanita dari hospital tersebut.

Tujuan klinik ini dilaksanakan ialah untuk memperkenalkan sukan ragbi sentuh sebagai satu riadah, aktiviti masa lapang yang bermanfaat serta mempromosikan sukan ragbi di Malaysia. Sesi klinik tersebut telah membuka memberi peluang kepada peserta-peserta program Scorpion Women in Touch (SWiT) untuk mengenali sukan ragbi dengan lebih dekat di samping mendapat perhatian penuh serta tunjuk ajar dari jurulatih ragbi bertauliah Kelab Ragbi Scorpion Putrajaya.

Empat jurulatih ragbi telah ditugaskan untuk membimbing pasukan ragbi sentuh wanita iaitu Azmir Kamsar, Khairul Ariffin, Mohd Amir dan Khairulnizam Ithnin. Sesi latihan kemahiran ragbi sentuh wanita akan dijalankan setiap minggu pada hari Rabu dan Khamis bertempat di Padang Hospital Putrajaya. Latihan dijalankan mulai jam 5.00 petang hingga 6.30 petang yang dimulakan dengan senaman, regangan otot dan teknik mengendali bola ragbi.

Khairul Bazlina peserta klinik ragbi wanita berkata beliau amat gembira dapat bersama-sama mempelajari sukan ragbi secara sistematik malah kehadiran rakan-rakan beliau dari Unit Dewan Bedah Hospital Putrajaya telah menjadikan aktiviti yang dilaksanakan ini lebih menarik dan mudah. Bagi Paridah Abd Wahab pula, latihan praktikal secara berkumpulan di klinik ragbi wanita ini telah mengubah persepsi beliau terhadap sukan ragbi yang di anggap beliau sebelum ini hanya boleh dimainkan oleh kaum lelaki sahaja.

" Permainan ini hebat," Ujar Dr. Puteri Noorliyana Zainal, salah seorang peserta klinik ragbi sentuh wanita.

" Ragbi mengajar kami semangat setiakawan, disiplin, kerjasama dan ianya tidak susah untuk dipelajari," Ujar Dr. Puteri Noorliyana Zainal lagi.

SWiT merupakan pasukan ragbi wanita yang pertama ditubuhkan di Putrajaya.

Kelab Scorpion Putrajaya kini mensasarkan untuk melatih kumpulan pertama seramai 150 orang pelajar sekolah masing-masing bagi kategori bawah 18 tahun (30 orang), bawah 16 tahun (30 orang), bawah 15 tahun (30 orang) dan bawah 12 tahun (30 orang) dan bawah 9 tahun (30 orang).

" Kami bercadang untuk mempelawa sekolah-sekolah dari dalam Putrajaya untuk bermain ragbi sebagai satu aktiviti ko kurikulum sukan di sekolah. Kami akan berhubung dengan Pejabat Pelajaran Putrajaya untuk mendapatkan keizinan bagi melatih pelajar-pelajar sekolah secara sukarela seperti yang telah dilaksanakan di Hospital Putrajaya. Usaha ini adalah untuk melahirkan barisan pelapis pemain ragbi Kelab Ragbi Scorpion Putrajaya secara berterusan di samping membantu pihak sekolah menubuhkan pasukan ragbi sekolah untuk pertandingan ragbi di peringkat MSSM," Ujar Azmir Kamsar, Ketua Jurulatih Scorpion Putrajaya RC.

" Kami juga mengucapkan terima kasih kepada presiden Kelab Ragbi Classic All Blacks New Zealand, Mr. Andy Haden kerana memberi tunjuk ajar dan cara membangunkan kelab kami 'Cara All Blacks. Terima kasih kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Persatuan Ragbi Putrajaya (PRP), Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Putrajaya (MSP), Gilbert South East Asia, Kuckreja Sdn Bhd, Total Field Sdn Bhd, MMP Communications Sdn Bhd, Noble Star Services Sdn Bhd, Akhbar New Straits Times, Akhbar Sinar Harian dan Meja Berita Sukan RTM kerana banyak membantu kami dalam melaksanakan program pembangunan ragbi peringkat akar umbi," Ujar beliau lagi.

Sekolah-sekolah di Precint 8 dan Precint 9 Putrajaya telah dikenal pasti untuk dijadikan 'Anak Angkat' bagi Kelab Ragbi Scorpion Putrajaya.

Written by: Sufiani

http://www.sukandaily.com.my/v3.1/index.php?option=com_content&view=article&id=22:klinik-ragbi-wanita-scorpion-putrajaya-dapat-sambutan&catid=1:berita-sukandailytempatan&Itemid=13

-----
Wonder how Bazlina going to play touch rugby with head scarf on!!



No comments:

Post a Comment